RSS

AESMI-3-Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akhlak

02 Sep

Bab 3

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akhlak

1. Menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhat.

2. Memelihara pandangan.

3. Memelihara lidah.

4. Bersifat pemalu.

5. Sersifat lemah-lembut.

6. Bersifat benar.

7. Bersifat tawaduk.

8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.

9. Bermurah hati.

Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda:

 

Yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”.

Hal ini dipertegaskan lagi di dalam Al-Quran:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Yang bermaksud:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah Al-Hajj, Ayat: 41).

Firman Allah lagi:

لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَءَاتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَءَاتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Yang bermaksud:

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 177).

Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak. Berhubung dengan hal inilah Rasulullah s.a.w menyatakan:

Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan. (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul Khuluq). Apabila ditanya tentang apa itu kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su’ul Khuluq).

Akhlak mulia yang dimiliki oleh seseorang hamba merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan di hari kiamat nanti. Oleh itu sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Di dalam Islam akhlak yang mulia itu lahir sebagai hasil dari berbagai ibadat yang dilakukan. Tanpa hasil ini, tinggallah ibadat-ibadat itu sebagai upacara dan gerak-geri yang tidak memiliki apa-apa nilai dan tidak membawa apa-apa faedah. Berhubung dengan sembahyang contohnya, Allah s.w.t menyebut di dalam Al-Quran:

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

Yang bermaksud:

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. (Surah Al-Ankabuut, Ayat: 45).

Rasulullah menjelaskan perkara ini dengan sabdanya:

Yang bermaksud:

Sesiapa yang sembahyang (tetapi) tidak dapat mencegah (dirinya) dari berbuat keji dan mungkar, ia akan bertambah jauh dari Allah. (Hadis riwayat Tabrani).

Rasulullah s.a.w juga menyebut perkara yang sama bagi faedah ibadat puasa:

Yang bermaksud:

Apabila seseorang yang berpuasa, janganlah dia melakukan rafath (mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan rasa berahi, lucah atau bersetubuh) dan bertengkar. Jika dia dicerca atau diperangi maka katakanlah: Saya ini sedang berpuasa. (Muttafaqun alaih).

Berhubung dengan ibadat Haji pula Allah berfirman:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ

Yang bermaksud:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 197).

Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

Sesiapa yang telah sempurna menunaikan Haji tanpa melakukan rafath (mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan rasa berahi, lucah atau bersetubuh) dan melakukan perkara-perkara yang fasiq, (bererti) dia kembali (dalam keadaan suci bersih) sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya. (Muttafaqun Alaih).

 

Sifat-sifat Akhlak Seorang Muslim

Di antara ciri-ciri akhlak yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya dia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlak-akhlak yang berikut:

1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan ajaran dari hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Yang bermaksud:

Sesungguhnya yang hala itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda:

Yang bermaksud:

Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk di dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah dia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan.

 

2. Memelihara Penglihatan:

Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang-orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah.

Allah s.w.t berfirman:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ

Yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram). (Surah An-Nur, Ayat: 30).

Rasulullah s.a.w pula bersabda:

Yang bermaksud:

Pandangan itu ada satu penahanan dari penahanan iblis.

Baginda juga mengingatkan:

Yang bermaksud:

Kamu hendaklah memelihara pandangan k, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu aAllah akan memburukkan muka kamu. (Hadis riwayat Tabrani).

 

3. Memelihara Lidah:

Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:

Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.

Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas yang empunya diri:

Yang bermaksud:

Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya. (Hadis Riwayat Tirmizi).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

Yang bermaksud:

Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji. (Hadis riwayat Tirmizi).

Sabdanya lagi:

Yang bermaksud:

Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi).

 

4. Bersifat Pemalu:

Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya.

Diceritakan daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.

Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman.

(Hadis riwayat Baihaqi).

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan:

Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

 

5. Bersifat Lemah-lembut dan Sabar:

Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah tugas dan tanggungjawab seseorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya. Da’ie akan menyampaikan dakwahnya kepada orang-orang jahil dan orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersinggung. Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah-lembut. Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan mengarahkan agar seseorang da’ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.

A. Arahan-arahan Dari Al-Quran:

Di antara arahan-arahan Al-Quran ialah:

1. Firman Allah:

وَلَمَنْ صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Yang bermaksud:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (Surah Asy-Syura, Ayat: 43).

2. Firman Allah:

فَاصْفَحِ الصَّفْحَ الْجَمِيلَ

Yang bermaksud:

Oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakan kamu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok. (Surah Al-Hijr, Ayat: 85).

3. Firman Allah:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah Az-Zumar, Ayat: 10).

4. Firman Allah:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ

Yang bermaksud:

Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah An-Nur, Ayat: 22).

5. Firman Allah:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Yang bermaksud:

Dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. (Surah Al-Furqaan, Ayat: 63).

B. Arahan-arahan dari hadis-hadis Nabi ialah:

  1. Sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.

2. Sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah hubungan silaturahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.

3. Rasulullah s.a.w juga bersabda:

Yang bermaksud:

Apabila Allah s.w.t menghimpunkan makhluk-Nya di hari Kiamat, penyeru pada hari itu menyeru: “Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: “Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat.” Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu?” Mereka menjawab: “Apabila kami dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”. Lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam Syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang beramal”.

C. Contoh-contoh Praktikal Dari Nabi-nabi:

1. Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan pembahagian rampasan perang) berkata: “Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredaan Allah”. Setelah diceritakan kepada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:

Yang bermaksud:

Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar.

2. Anas r.a telah berkata:

Yang bermaksud:

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain selendang buatan Najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari belakang sehingga meninggalkan kesan di leher baginda. Badwi tersebut berkata: “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu, lalu Rasulullah s.a.w berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan kepadanya.

3. Abu Hurairah menceritakan:

Yang bermaksud:

Bahawa seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Muhammad! Bawalah gandum ke atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta engkau dan bukan juga harta bapa engkau”. Kemudian dia menarik kain selendang Rasulullah s.a.w meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkasupaya membawa kepada Badwi tersebut seguni gandum dan tamar.

4. At-Tabrani menceritakan:

Yang bermaksud:

Bahawa seorang wanita bercakap lucah (iaitu percakapan yang boleh membangkitkan berahi) kepada sekumpulan lelaki, lalu dia melintas di hadapan Rasulullah s.a.w ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita tersebut berkata: “Kamu lihatlah kepadanya, dia duduk seperti seorang hamba abdi dan dia makan juga seperti seorang hamba abdi”.

5. Abu Hurairah r.a menceritakan:

Yang bermaksud:

Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras kepada saya”. Lalu baginda bersabda: “Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat demikian”.

6. Pada suatu ketika datang seorang Yahudi menuntut hutang daripada Rasulullah s.a.w dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd. Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar bin Al-Khattab ada bersama dan dia hampir-hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: “Wahai Umar! Sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.

7. Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s bersama para pengikut setianya (Hawariyyun) menjelajah dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana berdakwah. Lalu di dalam dakwahnya itu dia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik, sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan maki-hamun. Para pengikut setia Nabi Isa merasa hairan terhadap tindakan itu lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: “Setiap orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada padanya”.

Semua peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi tuntutan ke atas para pendakwah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya dari kaum kerabat, sahabat handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat dan saudara mara kerana sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta perbezaan. Cukuplah seseorang pendakwah itu melakukan apa yang diredai oleh Allah.

8. Bersifat Benar dan Jujur.

Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seseorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti dia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu-daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa besih, mulia dan terhindar dari tipu-daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang laknat.

Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.

(Muttafaqun Alaih).

9. Bersifat Rendah Diri

Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda:

Yang bermaksud: Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbut”.

(Hadis riwayat Muslim).

Di dalam Hadis Qudsi pula Allah berfirman:

Yang bermaksud:

Kemuliaan itu ialah pakaian-Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang-Ku. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya”.

(Hadis Qudsi riwayat Muslim).

10. Menjauhi Sangka Buruk dan Mengumpat:

Menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seseorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah Al-Hujuraat, Ayat: 12).

Allah berfirman lagi:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Yang bermaksud:

Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata. (Surah Al-Ahzaab, Ayat: 58).

Dan Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun dia berada di dalam rumahnya”. (Hadis riwayat Abu Daud).

11. Bersifat Pemurah.

Seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.

Di antaranya:

وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Yang bermaksud:

Dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. (Surah Al-Anfaal, Ayat: 3).

 

وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Yang bermaksud:

Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikuran. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 272).

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pengajaran darpesanan Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Yang bermaksud:

Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dia Malaikat lalu salah satu darinya berdoa: “Ya Allah! Berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala Malaikat yang kedua pula berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini”.

12. Qudwah Hasanah (Suri Teladan Yang Baik)

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

(Kitab-kitab yang membicarakan secara khusus mengenai tajuk ini yang dapat dijadikan sebagai renungan oleh para pembaca di antaranya ialah Kitab Riadhus Salihin karangan Imam Nawawi, Kitab Khuluqul Muslim (Akhlak Seorang Muslim) karangan Muhammad Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dan Hayat As-Sahabah karangan Al-Kandahlawi).

 
Comments Off on AESMI-3-Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akhlak

Posted by on September 2, 2006 in buku

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: