RSS

AESMI-5-Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri

02 Sep

Bab 5

Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri

 

Di dalam kehidupan ini insan bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang dan adakalahnya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang berterusan. Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut menjemputnya. Firman Allah:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا(7)فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا(8)قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا(9)وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Maksudnya:

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8- Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; 9- Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), 10- Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah Asy-Syams 91: Ayat 7-10)

Maksud inilah yang terkandung dalam sabda yang diisyaratkan oleh baginda s.a.w:

تعرض الفتن على القلوب كالحصير عودا عودا فأيما قلب أشربها نكت فيها نكتة السوداء وأيما قلب أنكرها نكت فيها نكتة بيضاء حتى تصير على أحد قلبين: على أبيض مثل الصفاة فلا تضره فتنة والآخر أسود مربادا لا يعرف معروفا ولا ينكر منكرا

Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran.

Dalam pertarungan menghadapi nafsu manusia terbahagi kepada 3 golongan:

  1. Golongan yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka.

    Mereka hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di dunia. Mereka adalah orang-orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan nikmat) Allah, lalu Allah juga membiarkan mereka. Di dalam Al-Quran Allah menyifatkan mereka sebagai orang yang mempertuhankan hawa nafsu, firman Allah:

    أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

    Maksudnya:

    Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?. (Surah Al-Jathiyah 45: Ayat 23)

  2. Golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya.

Dalam menentang hawa nafsunya ada kalanya golongan ini mencapai kemenangan dan ada kalanya mereka kecundang. Apabila terlibat dalam kesalahan mereka segera bertaubat. Begitu juga bila mereka melakukan maksiat mereka segera sedar dan menyesal serta memohon keampunan dari Allah. Allah berfirman:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

 

Maksudnya:

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Al-‘Imran 3: Ayat 135)

Inilah golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:

كل بني آدم خطاء وخيرا الخطاءين التوابون

“Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat.

(Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Sehubungan dengan pengertian inilah diriwayatkan satu kisah oleh Wahab Bin Munabbih yang mengatakan:

“Sesungguhnya Iblis pernah bertemu dengan Nabi Allah Yahya bin Zakaria a.s, lalu Nabi Zakaria a.s berkata kepada Iblis: “Ceritakan kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan kamu”. Lalu Iblis menjawab:

    1. Golongan pertama dari manusia ialah seperti kamu ini.

      Mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa).

    2. Golongan yang kedua adalah mereka yang berada dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kamu. Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.
    3. Golongan yang ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.

Sendi-sendi Kekuatan Dalam Memerangi Nafsu.

  1. Hati: Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu mengingati pesanan Sayidina Ali yang berbunyi:

    “Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati … maka hati yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah hati yang lembut, bersih dan cekal. Kemudian Sayidina Ali mentafsirkan (kalimah-kalimah tersebut dengan) katanya: Cekal dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mukmin.

    Sayidina Ali juga berkata:

    “Hati seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit”.

    Al-Quran Al-Karim memberi gambaran tentang hati orang-orang mukmin menerusi firman Allah:

    إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا

    Maksudnya:

    Orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman mereka. (Surah Al-Anfal 8: Ayat 2)

    Dalam menggambarkan sifat-sifat hati orang kafir pula Allah menjelaskan:

    فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

    Maksudnya:

    Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (Surah Al-Hajj 22: Ayat 46)

    Allah juga berfirman:

    أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءَانَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

    Maksudnya:

    (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?. (Surah Muhammad 47: Ayat 24)

  2. Akal: Akal adalah (ciptaan Allah) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu fahaman dari ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu itu kelak ia dapat menghampirkan diri dengan Allah, mengetahui keagungan Allah serta kekuatannya. Akal seperti inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya:

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Surah Al-Fatir 35: Ayat 28).

Rasulullah s.a.w menyebut betapa tingginya nilai akal ini dalam sabdanya:

ما خلق الله خلقا أكرم عليه من العقل

“Allah tidaklah mencipta suatu kejadian yang lebih mulia dari akal”.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada Sayidina Ali Karramallahu wajhah:

إذ تقرب الناس إلى الله تعالى بأنواع البر فتقرب أنت بعقلك

“Apmanusia mendampingi Allah dengan melakukan berbagai amalan kebajikan maka engkau dampingilah Allah dengan akal fikiran engkau”.

Baginda juga bersabda:

ما اكتسب رجل مثل فضل عقل يهدي صاحبه إلى هدى ويرده عن ردي

“Tidaklah beruntung seorang lelaki (dengan satu pemberian) dibandingkan dengan kelebihan kurniaan akal yang dapat membimbing pemiliknya kepada petunjuk dan menahannya dari perkara yang buruk”. (Hadis riwayat Al-Mujbir)

Oleh kerana betapa tingginya nilai akal, maka Islam menganjurkan agar akal diisi dengan ilmu dan makrifat serta mendalami segala urusan agama agar dengan ilmu-ilmu itu akal menjadikannya sebagai sebab-akibat yang memandu segala tindakan, membezakan di antara yang buruk dengan yang baik, di antara yang hak dengan yang batil sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama”.

Sabda baginda lagi:

فضل العالم على العابد كفضلي على أدنى رجل من أصحابي

“Kelebihan (keutamaan) seorang ‘alim atas seorang ‘abid (ahli ibadat) adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah dari sahabat-sahabatku”.

Semua ini membuktikan betapa tingginya nilai dan kesan akal dalam proses membina kekuatan insan di dalam diri manusia. Dengannya manusia dapat mengenali serta dapat menyelami hakikat alam semesta dan rahsianya.

Oleh yang demikian akal seorang mukmin itu adalah akal fikiran yang waras, dapat membezakan buruk dan baik, halal dan haram, kebaikan dan kemungkaran kerana ia melihat segala perkara dengan cahaya Allah yang dapat menembusi di sebalik tutupan yang halus. Firman Allah:

وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ

Maksudnya:

Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar). (Surah Al-Nur 24: Ayat 40).

Cahaya akal seseorang mukmin itu sentiasa bersinar, tidak dapat dipadamkan kecuali oleh kerja-kerja maksiat yang berkekalan, dilakukan pula secara terang-terangan dan tidak pula diikuti dengan taubat. Rasulullah s.a.w menjelaskan:

من قارف ذنبا فارقة عقل لا يعود إليه أبدا

“Sesiapa yang melakukan dosa maka bercerailah akalnya dari dirinya, ia tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya”.

Baginda s.a.w juga bersabda:

لولا أن الشياطين يهمون على قلوب بني آدم لنظروا إلى ملكوت السموات والأرض

“Kalaulah tidak kerana syaitan-syaitan itu mengelilingi hati anak-anak Adam nescaya mereka dapat melihat (merenung) kerajaan Allah di langit dan di bumi”.

Anas bin Malik r.a menceritakan:

لما دخلت على عثمان رضى الله عنه وكنت قد لقيت إمرأة في طريقي فنظرت إليها شزرا وتأملت محاسنها فقال عثمان لما دخلت: يدخل أحدكم وآثر الزنا على عينيه أما علمت أن زنا العينين النظر؟ لتتوبن أو لأعزرنك؟ فقلت أوحى بعد النبي؟ فقال: لا ولكن بصيرة وبرهان وفراسة صادقة

“Semasa aku masuk menemui Othman bin Affan r.a aku bertemu seorang wanita dalam perjalanan, lalu aku sempat mengerling memandangnya dan tertarik kepada kecantikannya. Lalu semasa aku menemuinya Othman berkata kepadaku: “Seorang dari kamu menemuiku sedangkan kesan zina kelihatan pada kedua matanya”. Adakah engkau mengetahui bahawa zina mata itu ialah memandang? Hendaklah kamu bertaubat atau aku akan mengenakan hukuman takzir. Lalu akupun bertanya? Adakah lagi wahyu (kepadamu) selepas Nabi? Maka Othman menjawab: “Tidak, tetapi (dengan pandangan) basirah hati burhan dan firasat yang benar”.

Tanda-tanda Ketewasan Jiwa

Apabila hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila hati manusia telah menjadi padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran di dalam tubuhnya.

Sebenarnya apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah:

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنْسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ

Maksudnya:

“Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa kepada Allah”. (Surah Al-Mujadalah 58: Ayat 19)

Inilah kandungan maksud yang dibayangkan oleh Al-Quran Al-Karim yang menyatakan:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ(16)ثُمَّ لَآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

Maksudnya:

Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; 17- Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (Surah Al-A’raf 7: Ayat 16-17)

Sebenarnya selain dari penyakit di atas terdapat satu penyakit lain yang paling berbahaya iaitu penyakit was-was, syaitan menyebabkan mereka merasa was-was dalam setiap urusan hidup mereka dengan tujuan memesongkan mereka dari jalan Allah. Dalam hal ini Rasulullah bersabda:

إن الشيطان قعد لإبن آدم بطريق فقعد له بطريق الإسلام فقال: أتسلم وتركت دينك ودين آبائك؟ فعصاه وأسلم ثم قعد له بطريق الهجرة فقال: أتهاجر؟ أتدع أرضك وسماءك؟ فعصاه وهاجر ثم قعد له بطريق الجهاد فقال: أتجاهد وهو تلف النفس والمال فتقاتل فتقتل فتنكح نساؤك

“Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek-moyangmu? Anak Adam enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian dia menghasut pula di jalan hijrah, lalau dia berkata: Adakah anda ingin berhijrah meninggalkan tanah air dan kampung halaman? Lalu anak Adam mengingkarinya dan tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata: “Adakah engkau ingin sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta benda engkau, kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau dikahwini orang dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian kemudian ia mati maka adalah hak Allah s.w.t memasukkannya ke dalam syurga”. (Hadis riwayat Al-Nasa’i)

Alangkah baiknya jikalau anda dapat menatap kisah antara syaitan dan seorang Rahib Bani Israil dalam tafsir ayat Surah Al-Hasyr 59: Ayat 16. Yang bermaksud:

كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya:

“(Pujukan orang-orang munafik itu) samalah dengan (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Kufurlah kamu. Maka tatkala manusia itu telah kafir dia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam”.

Cara-cara Menghalang Godaan Syaitan.

Bagi membantu manusia bagi menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan Iblis, Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para salihin dengan katanya:

“Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh pintu:

Pertama:

Tamak dan buruk sangka, maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.

Kedua:

Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.

Ketiga:

Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.

Keempat:

Kagum terhadap diri sendiri (‘Ujub), lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yaburuk.

Kelima:

Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghaddengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.

Keenam:

Hasad (dengki), lalu aku menghadapinya dengan sifat berpada (qana’ah) dan reda terhadap kurniaan Allah kepada makhluknya.

Ketujuh:

Riya’ dan sukakan pujian orang. Lalu aku menghadapinya dengan ikhlas.

Kelapan:

Bakhil (kedekut), lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah.

Kesembilan:

Takabbur (membesarkan diri), lalu aku menghadapinya dengan rasa tawaduk.

Kesepuluh:

Tamak haloba, lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.

Di antara arahan-arahan yang di anjurkan oleh Islam sebagai jalan untuk mengelak serangan dan tipu daya syaitan ialah agar sentiasa seseorang itu mengingati Allah apabila memulakan setiap pekerjaan. Satu riwayat daripada Abu Hurairah berhubung dengan hal ini menyebutkan: “Syaitan bagi orang-orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang-orang kafir, lalu di dapati syaitan bagi orang-orang kafir dalam keadaan gemuk-montel sedangkan syaitan bagi orang-orang mukmin dalam keadaan kurus kering bertelanjang dan kusut masai. Lalu syaitan bagi orang-orang kafir itu bertanya kepada syaitan bagi orang-orang mukmin: Kenapa kamu kurus kering?. Lalu ia menjawab: “Aku bersama seorang lelaki yang apabila ia makan ia menyebut nama Allah, lalu aku terus kelaparan, apabila ia minum ia menyebut nama Allah, lalu aku terus dalam keadaan dahaga, apabila ia memakai pakaian ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus bertelanjang. Apabila ia memakai minyak rambut juga ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus kusut masai”. Kemudian syaitan bagi orang-orang kafir itu berkata: “Tetapi aku bersama lelaki yang tidak berbuat demikian sedikitpun, maka bolehlah aku berkongsi makan, minum dan pakai dengannya”.

Di antara cara-cara untuk dijadikan kubu pertahanan menghadapi tipu daya dan godaan syaitan ialah dengan cara:

1. Janganlah terlalu kenyang apabila makan meskipun menghadapi makanan yang baik dan halal kerana Allah berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

Maksudnya:

“Makanlah dan minumlah, tetapi jangan kamu berlebihan”. (Surah Al-A’raf 7: Ayat 31)

Rasulullah s.a.w juga bersabda mengingatkan, maksudnya:

“Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Oleh itu sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan”. (Hadis riwayat Ahmad)

2. Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah dan memohon keampunan sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam, maka jika ia mengingati Allah ia pun lari daripadanya, jika sekiranya ia lupakan Allah syaitan akan mengunyah hatinya”.

(Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

3.Tidak tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana mengingati pesanan Rasulullah s.a.w:

“Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah”.

Sebenarnya ruang ini adalah terbatas untuk menyebut semua sebab, amal-amal dan pesanan-pesanan yang dianjurkan oleh Islam untuk menjaga diri dari serangan dan godaan syaitan. Memadailah di sini kita melihat firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (Surah Al-A’raf 7: Ayat 201).

 
Comments Off on AESMI-5-Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri

Posted by on September 2, 2006 in buku

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: