RSS

MDT-Pengerusi LTLKPP

02 Sep

Manhaj Daurah Tadribiyah
Manhaj Daurah Tadribiyah -Sekalung Bicara
Firman ALLAH,

“Dan guruh itu bertasbih dengan memuji ALLAH, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepadaNYA, dan ALLAH melepaskan halilintar lalu menimpakannya kepada siapa yang DIA kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang ALLAH dan DIAlah Tuhan Yang Maha Keras siksanya.” (Al-Ra’d:13)

Dalam menghadapi era abad ke-21 ini, tentulah negara juga mengadakan pelbagai bentuk program latihan terutama dalam mengisi wawasan 2020 yang mereka agungkan. Walaupun orientasi mereka kepada negara maju dari segi saintifik dan industrinya, tetapi mereka juga menyebut tentang aspek kerohanian. Dalam hal ini perbezaan tarbiyah mereka dengan kita ialah mengenai asas dan dasarnya. Juga kemudiannya mempengaruhi tatacara perlaksanaan atau modus operandinya. Dari sudut isi dan mesej, perbezaan yang ketara ialah mengenai mesej politik dan negara Islam, atau dalam lain perkataan ianya disebut sebagai pendidikan pemikiran siasah Islam.

PAS telah mempunyai halatujunya yang tersendiri dalam pentarbiyahan. Ia menyeru manusia bertauhidkan ALLAH SWT dengan menyokong kalimat-kalimat perintahNYA, beragendakan panduan al amr bil ma’ruf dan an nahy anil mungkar. Dua agenda kembar ini memerlukan perencanaan terbaik. Maka buku ini disusun bagi memastikan operasi perencanaan terbaik. Maka buku ini disusun bagi memastikan operasi amar makruf nahi mungkar berjalan dengan lancar, teratur, tersusun, mengikut perancangan, berfasa, beragenda, dibuat kajian prestasi, dikoordinasi dan ada keseragaman serta keselarasan yang berpusat. Kita tidak ada masa dan tenaga lagi untuk berbeza dari segi pelbagai perkara yang akhirnya akan membuatkan kita hanya sekadar selari atau parallel sahaja, kalaupun tidak melagakan, tanpa mempertemukan atau mempersatukan kita dalam satu jamaah yang kukuh. Lalu dalam hal-hal tertentu kita diheret oleh perbezaan pendapat yang tidak diperlukan. Kadang-kadangnya membezakan pula bentuk tindakan.

Saya mahu menegaskan secara prinsipnya kaedah tarbiyah kita ialah kaedah Islam yang merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mekanisme modennya pula mestilah dinamik dan anjal yang praktikal. Di sinilah saya lihat potensi yang ada, tetapi ianya memerlukan sokongan dan komitmen semua ahli. Inilah bukti wala’ dan adab para ahli kepada perjuangan.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka ALLAH dan RasulNYA serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian IA menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah:105)

Menyedari perintah ini, menjadi tanggungjawab kepada semua peringkat untuk menghayati apa yang telah disusun. Kemudiannya memikirkan secara khusus agenda teratur bagi masa akan datang. Bengkelkanlah cara bagaimana mahu melaksanakannya dalam organisasi di pelbagai peringkat. Di samping itu harus diingat bahawa tidak bermakna kita menolak program-program yang sedia ada, tetapi menjadi harapan supaya standardisation yang dibuat oleh Lujnah Tarbiyah ini akan menjadi pemangkin supaya program tarbiyah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan sistematik.

Semua ini memerlukan pengorbanan semua pihak. Jika ia dilakukan secara amal jama’ie (kolektif) saya percaya ia tidak mempunyai masalah hatta aspek kewangan sekalipun. Saya meletakkan tanggungjawab ini kepada semua. Biarlah ia menjadi kenyataan dan menjadi bukti kesungguhan kita.

Satu aspek penting dalam format tarbiyah ialah muhasabah. Dalam bahasa semasa ia disebut sebagai kajian separuh penggal atau review. Kerja-kerja sebegini boleh dilakukan bila adanya satu perancangan yang menyebut sasaran yang jelas dan dapat diukur. Ini memberi makna perancangan tarbiyah juga mestilah mempunyai strategi (strategic planning) dan fasa-fasa pencapaian yang dijangkakan. Walaupun aspek pentarbiyahan rohani memang tidak dapat diukur dari sudut peratusan dan angka-angka berdata, tetapi paling kurang aspek-aspek kursus dan program yang dilaksanakan dapat dikira dan diberi peratusan perlaksanaannya. Sesetengah aspek kualitatif pernah juga diukur oleh pengurusan moden dengan ukuran-ukuran kuantitatif. Ini adalah untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran.

“Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan ALLAH maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh ALLAH di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada ALLAH? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At Taubah:111)

Akhirnya, saya mengharapkan Manhaj Daurah Tadribiyah ini menjadi suatu rujukan untuk mewujudkan standard tarbiyah yang lebih terarah di dalam jamaah. Komitmen daripada semua pihak amat saya harapkan untuk memastikan usaha memperkemaskan tarbiyah menjadi agenda uatama di semua peringkat sama ada di peringkat cawangan, kawasan, negeri, pusat, IPT-IPT dan di semua pusat pengajian yang wujud pada hari ini.

Abd Hadi Awang,

Pengerusi, Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat (2001)

 
Comments Off on MDT-Pengerusi LTLKPP

Posted by on September 2, 2006 in buku

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: