RSS

Amanat Haji Hadi

26 Dec
amanat.jpg Tajuk : Amanat Haji HadiPenerbit : Jabatan Penerangan PAS Pusat

Saya tidak menyangka petikan daripada ucapan yang pernah saya sampaikan dua puluh tahun lalu masih hidup menjadi ilmu yang memberi manfaat sekiranya dihuari secara ikhlas dan benar. Apabila ia ditimbulkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Trengganu pada masa itu oleh Bekas Menteri Besar merangkap Pengerusi Biro Agama Umno, dengan tegas saya bangun membuat perakuan terbuka bahawa itu adalah ucapan saya. Sebenarnya ia adalah petikan daripada ucapan yang disampaikan dalam majlis ceramah PAS di Kampung Banggul Peradung Trengganu, seterusnya diangkat tarafnya menjadi Amanat.

Isu Amanat seringkali ditonjolkan apabila PAS menjadi sasaran serangan. Beberapa perkataan yang terkandung di dalamnya ditafsirkan ke arah suatu tindakan yang mungkin dirancang terhadap PAS atau saya secara khusus. Saya dapati terlalu banyak penyelewengan dalam memahami istilah Islam yang terkandung di dalamnya yang tidak boleh dihurai sewenang-wenang, seperti perkataan jihad, syahid, murtad, sekular dan lain-lain dengan huraian yang jahil atau sengaja, seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam atau mereka yang terpengaruh dengannya. Mereka telah mengelirukannya secara yang negatif. Walaubagaimanapun, kesannya sangat memuaskan hati saya, kerana kenyataan-kenyataan seperti politik tidak ada hubungan dengan Islam, mempersendakan hukum Islam sudah tidak banyak kedengaran lagi, kalau adapun dilakukan secara berhati-hati.

Walaupun ada di kalangan yang terlalu marah kerana tersinggung, sepatutnya jangan melenting, sebab ucapan itu tidak menyebut nama-nama individu samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Kalau tersinggung anggaplah ubat pencegah penyelewengan aqidah yang tidak terjejas sekiranya berlaku secara jahil. Kepada yang melakukannya secara sengaja dengan tegas saya mengajak supaya bertaubat sebelum terlambat, itu adalah hubungannya dengann ALLAH Yang Maha Mengetahui lagi Maha Adil, Pengampun dan Penyayang, bukan dengan saya.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, perbincangan secara ilmu sangat digalakkan dan perlu dilakukan dengan penglibatan mereka yang ahli dan amanah. Kalau tidak, maka padahnya laksana menyerah bunga ke tangan kera, atau menyerah senjata kepada sang gila. Ilmu Islam adalah amanah ALLAH yang tidak patut dibincang oleh mereka yang tidak amanah atau penulis upahan atau pencari harta Qarun.

Saya merasa kasihan kepada mereka yang mengejar kelebihan secara mengampu, apabila mereka memprovokasikan ucapan saya supaya sampai ke peringkat tindakan ISA yang zalim itu. Adakah mereka lupa bahawa mereka tidak kekal selama-lamanya dan ALLAH memberi amaran:

“Dan orang-orang yang zalim itu akan mengetahui di manakah tempat mereka dilingkupkan” ( As-Syura:227)

Saya mencuba sedaya upaya mengulas beberapa istilah yang perlu dihuraikan dengan berpandukan Al Quran dan As Sunnah dengan beberapa rujukan kitab muktabar dengan membuka peluang untuk disambung oleh Ikhwah Fillah untuk sama-sama mendapat keredhaan ALLAH walaupun dimarahi oleh makhluk perosak yang berkeliaran dalam dunia ini. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mencari keredhaan ALLAH walaupun dimarahi oleh manusia nescaya dia mendapat keredhaan ALLAH dan ALLAH menjadikan manusia redha kepadanya. Barangsiapa yang mencari keredhaan manusia walaupun di murka ALLAH nescaya dia dimurkai ALLAH dan akhirnya ia menjadikan manusia juga marah kepadanya”

 
Comments Off on Amanat Haji Hadi

Posted by on December 26, 2006 in buku

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: