RSS

Demokrasi dan Kepimpinan Islam – Suatu Perbandingan

26 Dec

Tajuk: Demokrasi dan Kepimpinan Islam – Suatu Perbandingan

Penulis: Ahmad Redzuwan Mohd Yunus,
(Jab Pengajian Dakwah & Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM)
Penerbit: Utusan Publication & Distributors

Edisi/Tahun: 1/2001

PENDAHULUAN

Sistem pemerintahan penting sebagai sesuatu yang mesti wujud untuk membangunkan sesebuah negara. Sekiranya sistem pemerintahan itu mantap, maka hasil perlaksanaannya juga baik dan begitulah sebaliknya. Demokrasi dan kepimpinan Islam merupakan sua “alat pemerintahan” yang pernah wujud di atas mukabumi ini yang mempunyai konsep dan metode tersendiri. Demokrasi yang dimaksudkan oleh penulis dalam perbincangan ini merupakan demokrasi yang telah diperkenalkan oleh Barat, manakala kepimpinan Islam pula menjadi satu sistem kepimpinan yang dianjurkan oleh ajaran Islam itu sendiri. Sejarah menceritakan dengan jelas bahawa demokrasi Barat wujud selepas tertegaknya kepimpinan Islam.

Perlu diketahui bahawa, demokrasi yang diperkenalkan oleh Barat itu merupakan satu bentuk penjajahan politik yang tidak disedari. Mereka mengharapkan agar umat Islam mengikuti sistem ini yang akhirnya akan mengubah sistem kemasyarakatan sesuatu penduduk. Keadaan ini telah mereka lakukan dengan begitu berjaya di samping penjajahan mereka dari sudut yang lain. Ini jelas sebagaimana yang telah diterangkan oleh Gibb dalam bukunya “Towards Islam” yang berbunyi:
“Gerakan pembaratan telah menempuh kejayaan yang gemilang dalam usaha menghapuskan kedaulatan Islam dalam bidang kehidupan bermasyarakat”

Penjajah Barat memperkenalkan demokrasi dalam pelbagai bentuk agar bersesuaian dengan semua negara termasuklah negara orang Islam. Penularan sistem ini ke negara-negara orang Islam telah mengakibatkan timbulnya golongan yang mengambil corak kehidupan ala Barat. Ternyata kepada umum, kebanyakan negara yang mengambil sistem ini ditimpa kemusnahan, samada kemusnahan antara manusia dengan persekitaran, manusia antara manusia dan manusia dengan Pencipta. Sewajarnyalah umat Islam mengambil pengajaran daripada rentetan peristiwayang berlaku di bawah sistem tersebut.

Manakala kepimpinan anjuran Islam yang menjadi satu-satunya kepimpinan umat Islam telah terbukti keunggulannya dalam menyelamatkan umat dari segala bencana kerana ia merupakan kepimpinan yang diredhai ALLAH SWT. Apakah yang sedang berlaku di kalangan umat Islam pada hari ini sehinggakan mereka tidak lagi berminat dengan kepimpinan yang telah digariskan oleh ajaran Islam untuk membina kehidupan mereka?

Buku ini memaparkan perbandingan antara dua ciri kepimpinan dari beberapa sudut yang perlu diperjelaskan supaya pembaca dapat melihat dan membuat penilaian tentang mana satukah sistem pemerintahan yang terbaik untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka/

Buku ini dibahagikan kepada tiga topik utama. Topik pertama membicarakan perihal konsep demokrasi secara menyeluruh supaya pembaca dapat memahaminya secara mendalam tentang demokrasi. Pada topik kedua, penulis membincangkan konsep kepimpinan Islam. Manakala perbandingan dilakukan pada topik yang ketiga secara kritis daripada setiap unsur yang wujud dalam kedua-dua sistem pemerintahan tersebut.

Semoga buku ini dapat memberi kefahaman yang jelas kepada semua pembaca sama ada Muslim ataupun bukan Muslim yang mengikutinya dan dapat membuat penilaian terhadap kedua-dua sistem tersebut.

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus
Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan
Fakulti Pengajian Islam
UKM

 
Comments Off on Demokrasi dan Kepimpinan Islam – Suatu Perbandingan

Posted by on December 26, 2006 in buku

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: