RSS

Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah

26 Dec
fitnah_dalam_kehidupan_pendakwah0001.JPG Tajuk : Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah
Penulis : Muhammad Ahmad ar Rasyid
Penerbit : Penerbitan Teras Bakti

SEPATAH KATA DARI PENYUSUN

Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar, Muhammad SAW, ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya dan para tabi’en.

Setiap organisasi akan sentiasa menghadapi krisis dan pelbagai permasalahan dalam menuju objektif yang telah ditentukan. Begitulah halnya bagi organisasi Islam yang menuju ke matlamat yang telah digariskan. Ulama gerakan Islam telah menulis mengenai buku isu ini antaranya Syeikh Ahmad ar Rasyid dalam bukunya ‘Al awaik’ dan ‘Khasais al-Fitan’, Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya ‘Masalah Dakwah dan Pendakwah’ dan ‘Orang-orang Yang Gugur Di Jalan Dakwah’.

Gerakan Islam adalah berbeza daripada organisasi-organisasi sekular. Perbezaannya merangkumi manhaj atau methodologi, merangkumi tabiat dan ciri-ciri, merangkumi pencetus motivasi amal dan pengorbanan dan merangkumi penggerak dan pekerjanya.

Kejayaan gerakan Islam tidak boleh diukur dengan kekuatan dan jumlah bilangan anggotanya sahaja tetapi kejayaannya berdasarkan sejauhmana tersebar luasnya akhlak imaniah, kebersihan jiwa dan bertambahnya istighfar dan taubat di kalangan anggotanya. Lebih banyak ciri-ciri ini menerajui amal Islami bermakna kejayaan semakin hampir.

Kejayaan gerakan Islam diukur sejauhmana ia mampu menggerakkan masyarakat ke arah peng’islah’an tetapi mereka tidak akan berjaya selagi gerakan Islam itu tidak mampu membentuk dan mentaujih mereka sendiri ke arah kebaikan. Pembentukan diri dan harakah bermula dengan penonjolan sifat wara’ dan menjauhi syubhat. Kerana sifat taqwa yang merangkumi sesebuah jamaah akan menjadi cahaya memandu manusia kepadanya dan membawa sokongan masyarakat kepadanya.

Asas-asas kejayaan ini akan membuahkan hasil apabila duat terselamat daripada pelbagai fitnah di jalan dakwah. Memandangkan keperluannya penyusun cuba untuk mengetengahkan semula perbincangan mengenai fitnah di dalam kehidupan duat ini untuk tatapan pembaca khususnya untuk pecinta gerakan Islam.

Buku ini adalah gabungan dua tulisan mengenai fitnah iaitu ‘Ciri-ciri Fitnah’ dan ‘Fitnah Dalam Hidup Para Duat’ dengan sedikit penyesuaian.

Oleh,
Abu Ahmad Fudhail, Sg Merab, Selangor.

NAS-NAS BERKENAAN FITNAH

1. Firman ALLAH:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji?” (Al-Ankabut:2)

2. Firman ALLAH (di dalam hadis Qudsi):
“Maka dengan diriku aku bersumpah…, bahawa aku akan memberikan kepada mereka fitnah yang menjadikan orang baik menjadi bingung.”

3. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya penyakit umat dan pemusnah nikmat ini ialah golongan yang suka mengaib dan mencela. Mereka menunjuk-nunjukkan kepada kamu apa yang kamu suka. tetapi mereka menyembunyikan apa yang kamu benci” (Riwayat Uthman bin Affan)

4. Sabda Rasulullah SAW;
“Sesiapa yang mahu memohon perlindungan, hendaklah dia memohon perlindungan dengan ALLAH Taala daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Abdullah bin Mas’ud)

5. Sabda Rasulullah SAW:
“Fitnah ialah pembakar hati dan pemusnah iman. Dengannya akan ternyala siapa yang benar dan siapa yang dusta.” (Riwayat al-Qayyim al-Jauziyah)

MUQADDIMAH

Fitnah merupakan satu fenomena tabi’e yang selalu melanda kehidupan manusia dan organisasi sesebuah jamaah. Malah ianya sudah menjadi sunnah kepada dakwah Islamiyah semenjak zaman permulaan manusia apabila ianya dilalui oleh Adam a.s. Fenomena ini ialah kerana tabiat keimanan seseorang itu, boleh bertambah dan berkurang sebagaimana yang dijelaskan oleh ALLAH dalam al Quran dan hadis yang soheh.

jamaah Islam juga tidak terselemat daripada perkara yang boleh mengerugkan kejernihan dan kesatuannya. Duat boleh dilanda pelbagai bentuk dan jenis fitnah ketika mereka melaksanakan dakwah melalui jalan-jalannya. Fitnah tidak akan bermula dan lahir secara tiba-tiba tetapi ia akan lahir dalam bentuk tanda-tanda awal atau muqaddimah fitnah seperti wujudnya kelemahan ikhwan dalam sudut-sudut tertentu.

Daripada kelemahan itu hawa nafsu dan segala kejahatannya akan menyerang. Daripada muqaddimah ini juga akan membawa kepada penyelewengan aqidahnya. Dari muqaddimah ini juga akan membawa kesan kepada tingkah-lakunya sehingga membawa seseorang itu kepada perkara yang diharamkan oleh ALLAH. Daripadanya juga yang membawa kepada perpecahan dan kehancuran saf.

Terdapat fitnah yang ringan dan dengan segera organisasi yang terfitnah terselamat dan sembuh. Terdapat juga fitnah yang berat yang meninggalkan kesan yang mendalam dan panjang kepada dakwah. Ada juga fitnah ini memberikan kebaikan kepada dakwah sehingga dakwah dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk dan dakwah dapat membersihkan saf daripada perkara yang buruk. Lantaran itu membawa kepada kekuatan binaan jamaah dan menambahkan kekuatan hubungan antara anggotanya.

Fitnah akan menjadi lebih mudharat sekiranya ia berjangkit kepada orang lain di dalam saf ia berkembang dan meluaskan sayapnya. Ketika itu akan berlaku lubang yang besar yang tidak akan mampu ditutup apabila ianya sudah terlambat. Ini akan melemahkan tenaga pendakwah dan memecahkan kesatuan hati.

Kekuatan jamaah akan hilang, kritikan, tuduhan dan tarjih (kenyataan yang merendahkan seseorang) akan tersebar. Ketika itu akan hilang keberkatan amal dan digantikan dengan azab dan balasan ALLAH terhadap jamaah dengan menghilangkan kejayaan dan tamkin yang dijanjikan oleh ALLAH.

Adalah menjadi kewajipan kita untuk memohon perlindungan dengan ALLAH daripada fitnah sebagimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam doanya:

“Ya ALLAH Tuhan yang membalikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMU”

Para sahabat telah mengetahui kesan fitnah ini dan demikianlah Huzaifah ibnu Yaman

jamaah Islam perlu bertindak segera memeriksa penyakit dan mengenalpasti sebab-sebabnya supaya mudah untuk dirawati. Malah lebih utama kita mengenalpasti punca-punca penyakit supaya fitnah ini dapat dibendung sehingga kerja sesebuah jamaah Islam seumpama mencegah penyakit dan memelihara jamaah, menjaga kebersihan jiwa dan kekuatan saf.

Walaubagaimanapun membicarakan tentang fitnah bukanlah suatu perbincangan yang menyeronokkan, bahkan adalah menjadi salah satu tunjang tarbiyah dan kehendak sifat adil supaya tidak memperbanyakkan perbincangan tentangnya. Tetapi perbincangan mengenainya dalam penulisan ini adalah suatu yang diperlukan bagi maslahah yang lebih penting. Maka penulisan ini hanya dilakukan kerana wujudnya keperluan.

Perlu diingatkan, bahawa adalah amat sukar untuk membincangkan tentang perkara ini, kerana bimbang perbincangan ini hanyalah natijah dari perasaan hawa nafsu dalaman yang terpendam yang tidak dirasai sejak sekian lama, kemudian diluahkan dalam bentuk pandangan terhadap permasalahan dakwah. Atau natijah daripada perselisihan peribadi, kemudian ia bertukar menjadi hasutan syaitan supaya mengeluarkan kritikan tajam atau sindiran yang melukakan hati.

Wujud juga kebimbangan, jika ketika tulisan ini cuba membangkitkan masalah beberapa individu, tetapi dengan kepintaran penulisan, akan menyebabkan ia kelihatan sebagai permasalahan yang menyeluruh lalu melukakan hati sesetengah golongan dan mengeruhkan kejernihan jiwa.

Atau tulisan ini menjadi luahan daripada perasaan keterlaluan yang diakibatkan oleh kecintaan kepada diri serta perasaan takabbur; lalu diterjemahkan kepada eberapa teori yang boleh mengeruhkan kesucian orang-orang yang tidak bersalah. Atau ia menjadi cara untuk mencari-cari kesilapan orang lain, di samping kemungkinan ia bercampur dengan keinginan untuk mendapatkan nama, atau mengelak daripada celaan. Kesemua ini mungkin menjadi tempat persembunyian bagi hati-hati yang letih, atau fikiran yang tenat.

Oleh kerana itu, amat perlu agar perbincangan ini dilakukan dengan penuh hati-hati dan dengan pemikiran yang mendalam, di samping bersandarkan kepada beberapa petunjuk sejarah dakwah dan beberapa pandangan hasil dialog dengan qiadah jamaah Islam.

Perbincangan ini juga perlu bersandarkan percubaan untuk menggali simpanan khazanah silam dan diselaraskan dengan realiti kehidupan seharian. Tidak kurang pentingnya juga ialah beberapa nas syariat dan kaedah feqah. Saya berharap kepada ALLAH agar memberikan taufiq dan ke arah kebenaran. Saya juga berdoa agar ALLAH menganugerahkan kesatuan saf dan niat yang benar dengan kurniaan dan kemuliaanNYA. Sesungguhnya ALLAH amat hampir lagi mengabulkan permintaan.

Dalam tulisan ini akan mengupas persoalan yang merangkumi gambaran fitnah atau ciri-cirinya, punca-puncanya, analisa mengani kesannya terhadap dakwah dan langkah-langkah penyelesaian bagi menghadapinya.

TUJUAN PENULISAN

1. Akan memantapkan neraca pertimbangan dan ukuran kepada seseorang akh yang dapat digunakannya ketika berlaku perselisihan pendapat atau wujud kekaburan pandangan saf.

2. Mendorong kita memastikan kesejahteraan manhaj tarbiyah ketika kita mentarbiyah generasi baru; dengan itu kita dapat memelihara kesatuan fikrah, uslub dan matlamat di kalangan duat.

3. Menjadikan al-akh menyadari apabila lahirnya kefahaman yang salah dalam saf.

4. Semoga al-akh akan dapat mengambil pengajaran daripada kesan fitnah dan membawanya beriltizam dan memelihara kesatuan jamaah.

 
Comments Off on Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah

Posted by on December 26, 2006 in buku

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: