RSS

POLITIK MUSLIM DAN DEMOKRASI DI MALAYSIA

26 Dec

POLITIK MUSLIM DAN DEMOKRASI DI MALAYSIA

Petikan :
Tranung Kite eGroups

POLITIK MUSLIM DAN DEMOKRASI DI MALAYSIA :
ANJAKAN, PERTEMUAN DAN LANDASAN BARU PERSAINGAN POLITIK

Syed Ahmad Hussein
http://www.soc.usm.my/social/syarahan.htm

Latar Belakang Politik Muslim Di Malaysia

Asal Usul Politik Muslim. Kedatangan Islam secara besar-besaran ke alam Melayu mempertembungkannya dengan masyarakat dan tamadun Hindu-animist dengan institusi-institusi pemerintahan dan budaya yang tersendiri. Kemasukannya melalui istana feudal Melayu bukan sahaja memperlihatkan kemunculan Islam resmi yang ditaja — dan dikawal — oleh golongan istana tetapi juga telah mewarnai proses penyetempatan dan penyerapan tradisi luaran itu (S. Ahmad, 1998). Satu ciri Islam awal di Tanah Melayu ialah sinkretisme kepercayaan peribumi tempatan dengan ajaran baru yang dibawa oleh Islam. Dengan peredaran masa, ajaran baru ini semakin mengikis ciri-ciri budaya pra-Islamik. Namun interaksi di antara agama dan persekitaran fizikal dan budaya komuniti pemeluk baru agama itu terus mempengaruhi masyarakat dan politik Melayu, terutama dalam soal-soal di mana Islam yang datang itu memberikan hanya landasan-landasan umum, termasuk dalam soal kehidupan berpolitik dan kenegaraan. Ini dikatakan antara penyebab ciri “kefleksibelan kreatif” dan “penyesuaian pragmatik” dalam sejarah pengalaman Islam orang-orang Melayu (Voll, 1994: 240, 348; Horowitz, 1994b: 579).

Pemerintahan tidak langsung British membolehkan raja-raja dan kelas aristokratik Melayu terus menikmati hak-hak istimewa tradisional mereka walaupun tanpa kuasa sebenar. Hal ehwal “budaya Melayu dan agama” diserahkan kepada kawalan sultan-sultan Melayu, dan “Islam resmi” di bawah naungan istana semakin termaktub (Gullick, 1987). British juga membina sekolah di pusat-pusat bandar untuk mendidik anak-anak aristokrat Melayu, di samping sekolah-sekolah vernakular untuk mengajar anak-anak petani mengenal huruf. Majlis-majlis agama telah membuka sekolah-sekolah agama resmi walaupun pada amnya pendidikan agama, secara formal atau tidak formal, lebih banyak ditawarkan oleh individu-individu di luar penguasaan negara. Dua kelas pemimpin Melayu – berpendidikan kolonial-Inggeris dan agama-vernakular — mula muncul untuk nantinya memimpin kumpulan-kumpulan yang bersaing dalam politik Melayu-Muslim (Rosnani, 1997). Dominasi kolonial ke atas ekonomi pula memperlihatkan perbezaan ketara antara sektor pertanian Melayu tradisional yang mundur dan tersisih dan sektor moden yang dinamik di sekeliling ladang-ladang getah dan perlombongan bijih timah. Ia juga menjemput kedatangan pekerja dan usahawan asing bukan-Muslim dari China dan India. Pada tahun merdeka 1957, kaum Cina berjumlah hampir satu pertiga daripada bilangan penduduk dan mempunyai kawalan yang substantif ke atas ekonomi moden.

Cabaran Kaum Muda.

Respons awal masyarakat Melayu-Muslim kepada perubahan kolonial mengambil bentuk gerakan modenis-reformis Islam pada tahun-tahun 1920an dan 1930an. Ia dipelopori oleh sekumpulan ilmuan-wartawan yang mengutarakan idea-idea rasionaliti dan modeniti bertentangan dengan apa yang mereka dakwa sebagai konservatisme dan kelesuan golongan tradisionalis yang menguasai Islam resmi negara kolonial (Roff, 1967: bab 3). Kaum Muda ini gagal untuk mencabar kuasa golongan Kaum Tua dalam birokrasi Islam resmi. Tindakan-tindakan pihak berkuasa — termasuk penggunaan kekerasan dan fatwa yang menyifatkan idea-idea Kaum Muda sebagai menyeleweng — telah melemahkan gerakan itu. Tambahan pula, fahaman pan-Islamisme dan pendirian yang mempersoalkan kesultanan Melayu, dalam realiti baru masyarakat pelbagai kaum di mana sultan adalah simbol penguasaan politik Melayu, tidak membantu gerakan itu mendapatkan simpati komuniti Melayu. Sesungguhnya, manipulasi label etnik dan simbol-simbol jaminan oleh golongan elit Melayu dalam suasana ketidakpastian ini telah berjaya membangkitkan respons emosional dan nasionalistik masyarakat Melayu yang menguntungkan golongan tersebut.

Walaupun gagal, gerakan modenis-reformis merupakan titik permulaan politik Muslim yang terancang di kalangan orang Melayu. Ia meletakkan Islam di tengah-tengah pentas politik Melayu; ia membawa ke hadapan tema sosio-politik yang substantif dalam wacana Islamik yang melampaui tumpuan tradisional yang hanya berkisar kepada persoalan ibadat dan hukum hakam kehidupan peribadi. Kemunculan dan kemerosotannya juga mempamerkan unsur sintesis dan simbiosis dalam politik Melayu-Muslim. Mulai tahun 1950an, Islam resmi sendiri telah semakin bersifat “modenis”; beberapa istilah penting modenisme Islamik — kerasionalan, pendidikan moden, pembangunan ekonomi, kerajaan berperlembagaan, perpaduan Muslim — telah menjadi sebahagian daripada leksikon Islam resmi.

UMNO Mewarisi Kuasa.

Apabila British menduduki semula Tanah Melayu selepas tamatnya Perang Pasifik, ia memperkenalkan satu aturan baru Malayan Union yang menghapuskan terus sisa-sisa kuasa kesultanan Melayu dan memberikan kewarganegaraan dengan mudah kepada kaum migran Cina dan India (Stockwell, 1979). Protes besar-besaran orang Melayu di bawah pimpinan elit aristokrat-pentadbir Melayu telah memaksa British menarik balik projek Malayan Unionnya dan telah meletakkan golongan elit itu sebagai calon terkehadapan untuk mewarisi kuasa daripada British. Gerakan protes itu telah mengubah dirinya pada tahun 1946 kepada United Malays National Organization (UMNO) dengan Datuk Onn Jaafar, seorang kerabat diraja Johor dan Pegawai Daerah dalam perkhidmatan pentadbiran kolonial, sebagai ketuanya. Datuk Onn meletakkan jawatannya pada tahun 1951 kerana perbezaan pendapat tentang soal penyertaan bukan Melayu dalam politik nasional. Beliau digantikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, saudara kepada Sultan Kedah pada masa itu dan juga ahli elit pentadbiran kolonial.

UMNO memperkenalkan dirinya sebagai sebuah parti nasionalis liberal yang berjuang terutamanya untuk ketuanan politik kaum Melayu. Ia juga komited kepada demokrasi, pasaran bebas, keharmonian kaum dan “tradisi negara sekular” (Funston, 1980: 146). Untuk bertanding dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan Jun 1955, UMNO telah menjalin satu perikatan dengan Malayan Chinese Association (MCA), sebuah persatuan Cina yang dikuasai oleh golongan peniaga, dan sebuah persatuan kaum minoriti India, Malayan Indian Congress (MIC). Perikatan pelbagai kaum ini memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam pilihanraya itu dan terus bertanding dalam pilihanraya-pilihanraya seterusnya sebagai satu pakatan, walaupun setiap komponennya dijangka akan menggembleng konstituensi kaum masing-masing. Mereka berkongsi sama platfom politik yang menekankan kompromi antara kaum, kesederhanaan dan pembangunan ekonomi. Dalam pilihanraya pertama pasca-merdeka pada tahun 1959, Perikatan telah memenangi 74 daripada 104 kerusi parlimen kebangsaan.

UMNO menguasai perikatan ini. Ia meletakkan calon yang terramai untuk bertanding dalam pilihanraya atas nama Perikatan. Dalam kerajaan, ia meguasai kementerian-kementerian utama; perdana menteri, timbalannya dan menteri-menteri kanan terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO. UMNO akan memetik penguasaan ini — bersama dengan kedudukan sultan-sultan Melayu dan penguasaan kaum Melayu dalam perkhidmatan awam dan keselamatan — untuk menafikan dakwaan PAS bahawa ia telah menggadai negara Melayu kepada kaum bukan-Melayu.

Ada penulis yang menganjurkan hipotesis bahawa kewujudan pelbagai komuniti etnik di Malaysia yang setiap satunya bersepakat untuk memperjuangkan kepentingan kumpulan masing-masing akan menggalakkan kerajaan yang responsif dan meningkatkan tawar-menawar antara kaum (Crouch, 1996: 150). Suasana ini juga menguntungkan Perikatan. Dalam persekitaran komunal, di mana parti-parti pembangkang menawarkan diri mereka sebagai pelindung kumpulan etnik masing-masing, formula Perikatan sebagai satu koleksi parti-parti etnik yang bersetuju untuk mensederhanakan tuntutan komunal setiap ahlinya telah paling berjaya menarik sokongan para pengundi berbilang etnik. Ini adalah antara faktor utama kemenangan besar Perikatan — yang menukar namanya pada tahun 1974 kepada Barisan Nasional — dalam semua pilihanraya semenjak merdeka.

Perlembagaan 1957 untuk persekutuan sebelas negeri Malaya (dipanggil Semenanjung Malaysia selepas terbentuknya Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963) memperuntukkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen bermodelkan Britain. Walaupun perlembagaan itu mengandungi apa yang lazim bagi pemerintahan demokratik — piliharaya, kebebasan-kebebasan asas, kesamaan hak warganegara — ia masih mengekalkan peraturan-peraturan darurat yang asalnya digubal untuk menangani ancaman pemberontakan komunis, termasuk kuasa kerajaan untuk menahan tanpa pembicaraan awam sesiapa yang disyaki menggugat keselamatan negara di bawah apa yang kini dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walau bagaimanapun, Malaysia di bawah pemerintahan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman dan “satu perikatan birokrat-aristrokrat Melayu dan peniaga Cina dalam konteks ekonomi yang dikuasai oleh modal asing” (Crouch, 1996: 191), boleh disifatkan sebagai zaman demokrasi liberal dan kesinambungan struktur-struktur kolonial.

Perlembagaan 1957 menjamin kedudukan sembilan raja-raja Melayu yang akan bergilir memegang jawatan raja berperlembagaan negara untuk jangkamasa lima tahun. Ia juga memperuntukkan Melayu sebagai bahasa kebangsaan, langkah-langkah afirmatif untuk kaum Melayu dalam pendidikan, pekerjaan dan peluang perniagaan dan Islam sebagai agama resmi. UMNO telah mendesak diadakan peruntukan-peruntukan ini sebagai “gantirugi” kepada kaum Melayu yang telah mengorbankan hak mereka sebagai bangsa eksklusif dalam negara yang telah menjadi multi-etnik itu. Kedua-dua UMNO dan PAS, walaupun dengan darjah yang berbeza, berpendirian bahawa hanya kaum peribumi Melayu sahaja yang berhak menentukan bentuk dan masa depan negara baru itu (Lim, 1997: bab II). Kedudukan Islam sebagai agama resmi membolehkan negara membiayai aktiviti-aktiviti agama Islam dan mahkamah-mahkamah syariah menguatkuasakan peruntukan-peruntukan terpilih undang-undang keluarga dan peribadi ke atas Muslim. Kepimpinan UMNO menegaskan bahawa peruntukan perlembagaan tentang Islam tidak bermaksud pembentukan negara Islam (Ahmad Ibrahim, 1997: 3-18).

Zaman Awal PAS.

Parti Islam SeMalaysia dilancarkan pada Ogos 1951; permohonan pendaftarannya diluluskan sehari sebelum tamat tarikh pencalonan untuk pilihanraya 1955 di mana parti tersebut memenangi kerusi tunggal pembangkang.

Sokongan British kepada kelas aristokrat-birokrat Melayu berjalan seiring dengan penindasannya terhadap kumpulan-kumpulan beraliran kiri (Firdaus, 1985). British telah mengharamkan Parti Nasionalis Melayu (MNP) pada tahun 1948. Turut terlibat ialah Hizbul Muslimin pimpinan cendikiawan Islam dan guru-guru sekolah agama yang ditubuhkan pada Mac 1948 di bawah naungan MNP. Hizbul memperjuangkan kemerdekaan nasional, pembangunan ekonomi Melayu dan negara demokratik yang berlandaskan ajaran Islam. Parti itu berjaya hidup hanya sekitar lima bulan; penahanan pemimpin-pemimpin utamanya di bawah Peraturan Darurat pada Ogos 1948 telah menamatkan riwayatnya.

Bekas pemimpin-pemimpin Hizbul Muslimin adalah antara pengasas PAS. PAS menyusur-galur asal-usulnya kepada gerakan modenis-reformis tahun 1930an dan, sepertinya, menyokong idealisme demokratik sebagai bersesuaian dengan Islam. PAS bertujuan “menggembleng Muslim ke arah melaksanakan tuntutan Islam (untuk mencapai) demokrasi, keadilan sosial dan humanitarianisme” (Ibnu Hasyim, 1993: 30). Dari awal lagi, parti itu ingin menjadi platfom untuk menyatukan mereka yang berorientasi Islamik untuk mencabar apa yang didakwanya golongan sekular-nasionalis-kapitalis yang berkiblatkan Barat dalam UMNO. Dalam usaha ini, PAS memerlukan sokongan daripada pemimpin-pemimpin tradisional desa yang konservatif dan ramai pula di kalangan mereka yang bergantung daripada segi material kepada aparatus agama negara. Hakikat bahawa dua pemimpin pertama parti tersebut — Ahmad Fuad Hasan (1951-1953) dan Abbas Alias (1954-1956) – adalah daripada golongan ulama tradisional sebahagiannya dipengaruhi oleh perlunya PAS mengambil kira kumpulan penting dalam komuniti Melayu luar bandar ini.

PAS mula jelas berhaluan reformis (dan nasionalis) semasa era pemimpin ketiganya, Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Burhanuddin berijazah dari Universiti Aligarh, India dan pernah menjadi timbalan presiden MNP. Dengan negara di ambang kemerdekaan dan PAS terdesak untuk mendapatkan pemimpin yang berkaliber untuk bersaing dengan UMNO, parti tersebut telah berjaya memujuk Burhanuddin untuk memimpinnya. Burhanuddin dipilih sebagai presiden dalam perhimpunan parti pada Disember 1956 walaupun beliau baru sahaja menjadi ahli.

Idea sintesis antara Islam reformis, demokrasi, nasionalisme dan sosialisme yang dibawa oleh Dr. Burhanuddin menguasai orientasi ideologi PAS untuk lebih dua dekad. Tetapi dalam realiti suasana politik komunal, tema etnik jelas paling menonjol. Burhanuddin mempertahankan “nasionalisme Melayu dengan cita-cita Islam” anjurannya itu sebagai progresif dan humanitarian yang bersesuaian dengan Islam dan yang tidak perlu dibimbangi oleh kaum bukan Melayu. Namun ia merupakan nasionalisme yang menyeru kepada pengiktirafan Melayu sebagai pentakrif kepada identiti nasional dan kaum Melayu sebagai “pemilik tanah air yang sah” di mana kaum bukan Melayu dialu-alukan sebagai warga hanya jika mereka bersedia mengorbankan identiti budaya dan bahasa mereka (W. Mohd. Azam, 1997: 83-114). Seperti yang boleh dijangkakan, platfom sebegini tidak akan dapat menarik sokongan bukan Melayu, dan PAS menumpukan usaha pilihanrayanya di negeri-negeri penduduk majoriti besar Melayu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Walaupun PAS menekankan landasan Islamnya, dan istilah serta imperatif moral Islam senantiasa disentuh dalam pernyataan-pernyataannya, Islam sebagai satu sistem governans tidak tertonjol dalam agendanya dalam tiga dekad pertama kewujudannya. Malah, kongres parti tersebut pada tahun 1954 telah menolak cadangan yang mendesak pembentukan segera negara Islam. Matlamat pemerintahan yang bersesuaian dengan Islam yang diperjuangkan olehnya pun dicadangkan sebagai sesuatu yang inkremental melalui pendidikan masyarakat dan pemupukan sebuah masyarakat Islamik.

Tetapi PAS berpendirian bahawa UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya adalah tidak Islamik, tidak demokratik dan tidak mewakili kepentingan majoriti kaum Melayu. Ia menuduh pemimpin UMNO dan rakan-rakan bukan Muslimnya dalam Perikatan menganjurkan dasar-dasar yang bertentangan dengan Islam dan menggalakkan pengaruh budaya dekaden. Ia mendakwa kerajaan pimpinan UMNO telah menyalahgunakan alat-alat negara untuk menindas pesaing-pesaing politiknya yang sah. Ia mengutuk dominasi ekonomi kaum Cina dan pemodal asing yang telah menguntungkan kelas-kelas istimewa Melayu yang bersekongkol dengan mereka tetapi mengekalkan kemiskinan petani Melayu di desa.

Di antara 1951 hingga 1956, PAS “nama sahaja parti politik” (Funston, 1980: 94). Namun, pada pilihanraya 1959, parti itu telah memenangi 13 kerusi parlimen dan 42 kerusi di dewan-dewan undangan negeri dan telah membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu. Dalam piliharaya 1969, ia memenangi 12 kerusi parlimen dan 40 kerusi negeri tetapi ia telah jelas menjejaskan sokongan akar umbi UMNO dengan memperolehi hampir separuh daripada undi Melayu keseluruhannya (Ratnam dan Milne, 1970). PAS telah menjadi pesaing yang sirius kepada UMNO untuk kepemimpinan komuniti Melayu.

 
Comments Off on POLITIK MUSLIM DAN DEMOKRASI DI MALAYSIA

Posted by on December 26, 2006 in Uncategorized

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: