RSS

Sejarah dan Perkembangan Gerakan Tajdid di Tanah Melayu – I

30 Nov

—–

cached from: http://irfront.net/post/articles/sejarah-dan-perkembangan-gerakan-tajdid-di-tanah-melayu-i/

—–

Sejarah dan Perkembangan Gerakan Tajdid di Tanah Melayu – I

September 21, 2013

 

Oleh: Dr Ahmad Farouk Musa

1. Pengenalan

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’aruf, mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah….” [ali’Imran 3: 110]1.

Muhammad Asad di dalam The Message of The Quran2 menyebutkan bahawa janji kepada pengikut al-Qur’an bergantung kepada keadaan mereka, sesuatu komuniti yang bertanggungjawab melaksanakan tugas ‘amar ma’aruf nahi mungkar serta benar-benar beriman kepada Allah, dan sejarah telah menunjukkan bahawa janji ini mngkin tidak terlaksana apabila umat Islam sendiri gagal untuk melaksanakn tuntutan aqidah tersebut.

Lantaran itu, disepanjang zaman akan lahir golongan yang akan menggembelingkan semula umat ini, dari segi aqidah dan ibadah, politik dan sosial, tamadun dan peradaban, agar mereka kembali kepada status “khaira ummah”; umat yang terbaik untuk manusia keseluruhannya.

Dalam hal ini, Rasulullah telah bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan melalui Abu Hurairah, sabdanya:

“Sesungguhnya Allah akan mengutuskan kepada umat pada awal setiap satu kurun, orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya”3

Tajdid menurut Syeikh Yusuf al Qaradawi ialah memperbaharui agama dan mengubahnya supaya sesuai dengan zaman4. Apa yang dimaksudkan dengan pembaharuan ialah pembaharuan memahaminya, keimanan dan amalannya. Maka pembaharuan disini ialah sesuatu yang dihubungkan dengan kembali semula kepada sesuatu yang telah ada dan berlaku semasa ia bermula dan menzahirkan sebagaimana mulanya dahulu seolah-olah ia sesuatu yang baru, iaitu dengan lebih menguatkan daripada yang sedia ada. Membetulkan persis seperti yang dahulu, menampung apa-apa yang kurang, hingga ia kembali persis seperti dalam bentuknya yang awal dahulu. Pembaharuan bukanlah bermakna melahirkan sesuatu bentuk baru daripadanya, bahkan pembaharuan bermaksud kembali semula kepada ajaran murni yang ada pada zaman Rasulullah, para sahabatnya dan orang-orang yang selepas mereka.

Selanjutnya, Sayyid Abu A‘la Maududi5 mensyarahkan bahawa sesetengah orang telah salah dalam pemahaman mereka terhadap makna tajdid dan mujaddid. Mereka menyangka ‘pada awal setiap kurun’ bermakna benar-benar awal atau akhir sesuatu kurun, dan ‘orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya’ merujuk kepada seseorang individu tertentu sahaja. Oleh kerana itu, mereka mula mencari di dalam sejarah Islam seseorang tokoh pembaharu agama yang mati atau hidup pada awal atau akhir setiap kurun yang tertentu.

Tetapi sebenarnya, kalimat “ra’sun” atau awal/akhir dan katanama “man” atau seseorang, tidak menunjukkan awal/akhir ataupun hanya seorang individu tertentu. Akan tetapi ia membawa maksud golongan mujaddid tersebut akan mempengaruhi berbagai-bagai cabang keilmuan dan pemikiran. Begitu juga kehidupan yang prevalen pada masa tersebut. Kalimat “man” di dalam bahasa Arab boleh membawa maksud seorang (singular) ataupun ramai (plural), kerana itu ia mungkin bermaksud seseorang indidvidu, sesuatu kumpulan ataupun sesuatu organisasi. Rasulullah telah menjanjikan bahawa dengan izin Allah, tidak ada kurun yang sunyi daripada para mujaddid, yang akan bangkit menentang kejahilan dan berjuang untuk membersihkan agama itu daripada segala bentuk pencemaran serta melaksanakan system Islam di dunia ini dalam bentuk dan ruhnya yang asli.

Oleh kerana itu, kata al Maududi lagi tidak semestinya mujaddid bagi sesuatu kurun itu hanyalah seorang individu, malahan tugas tersebut boleh terlaksana dengan beberapa individu ataupun kumpulan individu, dalam kurun yang tersebut. Tidak juga dinyatakan bahawa seorang mujaddid telah memadai bagi seluruh dunia Islam. Akan tetapi berkemungkinan wujudnya segolongan individu dalam negara yang berlainan pula, yang berjuang untuk kebangkitan Islam.

2. Sejarah Ringkas Gerakan Tajdid di Tanah Melayu

Setelah berlalu masa yang panjang, maka kemurnian Islam itu telah mula tercemar oleh bid’ah dan khurafat, oleh kebekuan dan kejumudan umatnya. Sejak kehancuran kuasa politik umat Islam di laut Mediterranean, tamadun Islam juga turut hancur. Pemikiran Islam juga turut karam bersama tamadunnya. Namun, sejarah umat Islam tidak selamanya demikian. Firman Allah:

“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)”6

Ia merupakan salah satu garis perjalanan sejarah manusia. Bermula abad ke-20, banyak cetusan sejarah yang berlaku. Beransur-ansur matahari yang selama ini hanya menyinari bumi sebelah barat, sekarang mula menyinari daerah timur. Kesedaran umat Islam mula terasa. Peringatan Allah bergema kembali:

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamu orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”7

Maka terjadilah kebangkitan baru kembali kepada kemurnian Islam. Dahulu Islam telah membangunkan sesuatu kelompok manusia yang jahil lagi hina sehingga menjadi umat yang memimpin tamadun manusia. Akan tetapi ia kini kembali dagang. Sabda Rasulullah:

“Bermula Islam itu dalam keadaan dagang (asing), dan ia kembali dagang seperti mulanya, beruntunglah orang-orang yang dagang itu.”8

Mereka yang “asing” ini ingin kembali kepada Islam yang asal, Islam yang bersih daripada bid’ah dan khurafat, daripada segala tahyul dan angan-angan, daripada segala perkara-perkara yang diada-adakan oleh manusia. Mereka ingin berjalan diatas landasan. para as-salaf as-salih. Mereka mengidentifikasikan pemikiran mereka dengan pemikiran para salaful ummah dan merekalah yang dikenali sebagai salafiyyah.9

3. Tokoh-tokoh Generasi Awal Gerakan Tajdid

Tujuan utama gerakan tajdid ialah untuk mengembalikan kefahaman umat Islam kepada al-Qur’an dan as-Sunnah serta kemampuan untuk berijtihad. Gerakan tajdid berusaha menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam serta taqlid buta, serta penentangan terhadap segala bentuk penjajahan baik yang merupakan penjajahan pemikiran mahupun penjajahan tanahair.

Tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah (1263-1328M)10 dan diikuti oleh muridnya Ibnu al Qayyim al Jauziyyah (1292-1350M), kemudian dihidupkan kembali oleh Muhammad Abdul Wahab (1703-1787M) dan disambung kembali pula oleh Jamaluddin al Afghani (1837-1897M), Muhammad Abduh (1849-1905M) dan Sayyid Muhammad Rasyid Redha (1856-1935M) telah dikembangkan di Tanah Melayu oleh golongan salafiyyah yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’. Tokoh-tokoh kaum muda yang mahsyur adalah seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al Hadi, Abu Bakar al Baqir, Abu Bakar al Asy’ari dan lain-lain lagi. Mereka berjuang memperbaharui kefahaman umat Islam terhadap agamanya disamping menghadapi tentangan barat.11

Di Indonesia pula, gelombang reformasi dan tajdid telah dicetuskan oleh beberapa orang seperti Haji Ahmad Dahlan yang telah menubuhkan Gerakan Muhammadiyyah (1912); diikuti oleh Ahmad Surkati yang telah menubuhkan Al Irsyad (1923) dan A.Hassan yang telah mengasaskan Persatuan Islam (1923).12

Termasuk dikalangan para pejuang gerakan tajdid di Indonesia yang mempunyai pengaruh yang kuat hingga ke Tanah Melayu ialah Prof. Dr. Haji Abdul Karim Amrullah (Hamka), dan juga Prof. Dr.T.M. Hasbi ashShiddiqi.

4. Perjuangan Para Mujaddid di Tanah Melayu

i. Pembebasan Pemikiran

Di antara seruan utama gerakan tajdid ialah dalam membebaskan pemikiran umat daripada belenggu taqlid buta. Para mujaddid tersebut telah mengemukakan ide memerdekakan fikiran, membebaskan diri daripada belenggu adat resam budaya dan masyarakat, kerana selama seseorang itu dibelenggu, selagi itulah akalnya akan buta dan jumud serta suka kepada taqlid. Pejuangan mereka memerdekakan pemikiran umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan kemasyarakatan, bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas.13

Perjuangan para pemimpin tajdid pada masa itu yang diketuai oleh Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al Hadi, merupakan kesinambungan perjuangan yang diasaskan oleh mujaddid yang ulung, Syeikh Muhammad Abduh serta muridnya yang utama iaitu Sayyid Rashid Redha. Di Mesir, majalah “al-Manar” merupakan penyambung lidah “al-Urwat al Wuthqa” yang telah diasaskan oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin al Afghani. “al-Manar” yang telah diteruskan oleh Sayyid Muhammad Rasyid Redha telah memperjuangkan cita-cita kebangkitan Islam, malah ia lebih lengkap daripada “al Urwat al Wuthqa” kerana selain daripada membangkitkan semangat umat, ia juga dipenuhi dengan pandangan baru berlandaskan penafsiran al Qur’an.14

Setelah kematian Sayyid Muhammad Rashid Redha, “al Manar” telah diteruskan oleh Hasan al Banna15. Beliau menjadi penyambung gerakan tajdid yang menyatukan dalam perjuangannya aqidah dan syari’ah, agama dan dan negara, haq dan kekuatan, perdamaian dan perjuangan, al Qur’an dan pedang.16

Di Tanah Melayu pengaruh “al-Urwat al-Wuthqa” dan “al-Manar” jelas kelihatan berikutan dengan terbitnya majalah “al-Imam”. Majalah ini menekankan kepentingan kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai asas hukum serta menyeru supaya dilakukan ijtihad dan menolak taqlid. Selain daripada “al Imam”, terdapat juga beberapa majalah lain yang memberi kesedaran kepada masyarakat seperti “al-Ikhwan” (1926), “Saudara”(1928) dan “al-Hikmah” (1934).

Seruan gerakan tajdid bukan hanya tertumpu kepada media berbahasa Melayu sahaja, bahkan terdapat juga di dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, Pendita Za’ba telah berterus terang mengisytiharkan pendiriannya bahawa beliau termasuk ke dalam golongan “yang belayar dalam bahtera yang baru” iaitu ke dalam golongan Kaum Muda.17 Pendeta Za’ba telah menyumbangkan ide gerakan tajdid menerusi rencana berbahasa Inggeris di dalam majalah “The Muslim” (Singapura) dan “Islamic Review” (London) pada awal dekad 1920-an.

Dalam menghuraikan maksud tajdid, Pendeta Za’ba berkata:

Tajdid bermakna kembali semula kepada bentuknya yang asal dan bersifat anjal terhadap suasana yang baru. Sekiranya Imam-Imam terdahulu mampu membuat penyelidikan yang bebas, dan memutuskan sesuatu perkara berdasarkan kepada sumbernya yang asal, bergantung kepada kehendak masa dan keadaan, maka tidak ada sebab kenapa mereka yang berkelayakan pada masa hari ini tidak mampu untuk melakukan perkara yang sama.18

—–

[1] Semua terjemahan Al-Qur’an diambil daripada Al-Qur’an Dan Terjemahannya oleh Kementerian Agama Islam, Wakaf, Da’awah Dan Irsyad Kerajaan Arab Sa’udi edisi terjemahan Indonesia yang diketuai oleh Prof T.M.Hasbi Ashshiddiqi

[2] Muhammad Asad: The Message of The Quran (3:110) note 52: As is obvious from the opening surface of verse 110, this promise to the followers of the Qur’an is conditional upon their being or remaining, a community of people who “enjoin the doing of what is right and forbid the doing of what is wrong, and (truly) believe in God”; and –as history has shown – this promise is bound to lapse whenever the Muslim fail to live up their faith.

[3] Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab “al-Malahim” dalam sunan no 4270; al Hakim dalam al Mustadrak, jilid 4 halaman 522; al Baihaqi dalam Ma’arifah al-Sunan wa’l Athar dan lain-lain. Disahihkan oleh al-‘Iraqi dan as Suyuti seperti dalam Fayd al Qadir, jilid 2, halaman 282, juga disahihkan oleh al Albani di dalam Silsilah al Ahaadith as Sohihah, no: 599.

[4] Yusuf al Qaradawi: Kaifa Nata’amalu ma’as Sunnah an Nabawiyyah. Edisi terjemahan ‘Bagaimana Berinteraksi Dengan al Sunnah’ oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), 1996.

[5] Sayyid Abul A’la Maududi: A Short History of the Revivalist Movement in Islam, terbitan The Other Press, 1999.

[6] ali’Imran 3:140

[7] ali’Imran 3:139

[8] Hadith Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra di dalam kitabul iman, bab bayan anna al islam ghariban wa saya’udu ghariban

[9] Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah: Aliran Perintis Dan Aqidah Dalam Islam. Edisi terjemahan oleh Abd Rahman Dahlan dan Ahmad Qarib, terbitan Edaran Kalam, 1996.

[10] Tahun Masihi.

[11] Mohamad Kamil Hj Abdul Majid: Tokoh-tokoh Pemikir Islam, terbitan Budaya Ilmu Sdn. Bhd, 1993.

[12] Deliar Noer: The Modenist Muslim Movement in Indonesia 1900-1973. Diterbitkan oleh Oxford University Press, 1973.

[13] Mohd Kamil Abdul Majid: Tokoh-Tokoh Pemikir Dakwah, di dalam bab: Pengaruh Pemikiran Muhammad Abduh dalam Gerakan Islam di Malaysia. Terbitan Dewan Pustaka Islam, 1990.

[14] ibid

[15] Muhammad Abdullah Khatib: Nazaratu fi Risalah at Ta’lim, edisi terjemahan: Pandangan Semula Kepada Risalah Ta’alim, terbitan Pustaka Media Budi, 1993.

[16] Yusuf al Qaradawi: Fiqh al Awlawiyyat edisi terjemahan: Memahami Keutamaan Berasaskan al Qur’an dan as Sunnah, terbitan ABIM, 1996.

[17] Adnan Nawang: Za’ba dan Melayu. Diterbitkan oleh Berita Publishing, 1998.

[18] Za’ba: Radio Talk on Islam; 1961. Arkib Negara: “Reform means forming back to original purity and adjusting to new conditions. If the early Imams could make independent investigation and exercise their own judgement based on the original sources and on the requirements of the time and circumstances, surely there is no reason why qualified people of today cannot do the same.”


 

Kertas kerja ini disampaikan semasa Forum Gerakan Tajdid: Sejarah, Perkembangan dan Cabaran di Era Globalisasi di Sime Darby Convention Centre, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 23 Julai 2006 anjuran Muslim Professionals Forum (MPF)

– See more at: http://irfront.net/post/articles/sejarah-dan-perkembangan-gerakan-tajdid-di-tanah-melayu-i/#sthash.59ewdxPq.dpuf

 
Leave a comment

Posted by on November 30, 2012 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: