RSS

Sejarah dan Perkembangan Gerakan Tajdid di Tanah Melayu – II

30 Nov

—–

Cached from: http://irfront.net/post/articles/sejarah-dan-perkembangan-gerakan-tajdid-di-tanah-melayu-ii/

—–

Sejarah dan Perkembangan Gerakan Tajdid di Tanah Melayu – II

September 22, 2013

 

Oleh: Dr Ahmad Farouk Musa

1. Perjuangan Para Mujaddid di Tanah Melayu

ii.Pembebasan Daripada Khurafat dan Bid’ah

Suatu ciri khas gerakan tajdid daripada aliran mana sekalipun, ialah pembasmian bid’ah. Islam itu mestilah sentiasa murni seperti yang diajarkan oleh al Qur’an dan as Sunnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“ Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, telah Aku cukupkan untukmu nikmatKu, dan telah Aku redha Islam menjadi agamamu” 1

Firman yang termetrai di atas menjelaskan kepada kita bahawa Allah telah menetapkan di dalam kitab suci al-Qur’an segala dasar-dasar agama. Ayat ini merupakan nas yang cukup terang dan konkrit yang menyatakan bahawa al-Qur’an telah menegakkan dasar-dasar aqidah, dasar-dasar syariat, pokok-pokok aturan dan undang-undang ijtihad.

Imam Muhammad Abduh dan Sayyid Muhammad Rasyid Redha telah merumuskan dua prinsip asas – Golden Rule – dalam urusan ini iaitu:

1. Asal sesuatu urusan ‘ibadah itu adalah haram melainkan ada perintah yang menyuruh kita melakukannya.

2. Asal sesuatu urusan mua’malat itu adalah harus melainkan ada larangan yang mencegahnya. 2

Prof. Hasbi ash-Shiddiqi menerangkan bahawa dibezakan dua urusan ini adalah kerana mengingati bahawasanya Allah tidak diibadati melainkan dengan cara yang telah disyari’atkan olehNya dan telah diterangkan oleh RasulNya. Urusan mua’malat dan keduniaan adalah soal yang diserahkan kepada kita. Kita dapat melaksanakannya menurut pendapat akal, terkecuali jika telah ada sesuatu nas yang sahih yang menentukannya. 3

Sheikh Abu Bakar al Asya’ari, pelopor terkemuka gerakan tajdid di Perlis dalam bukunya “Ibadah Rasulullah” setelah mengemukakan beberapa takrif yang dibuat oleh ulama terdahulu, mengambil kesimpulan bahawa bid’ah menurut syari’ah ialah sesuatu yang baru di dalam urusan agama, baik yang berupa aqidah mahupun ibadah, ataupun yang mempunyai unsur ibadah yang belum pernah ada atau belum pernah terjadi pada masa ar-Rasul dan pada masa sekelian sahabatnya. Demikian juga tambahan atau pengurangan dalam urusan agama yang kedua-duanya terjadi sesudah masa para sahabat, dengan tidak ada izin yang yang diperkenankan daripada Nabi, baik dengan perkataan maupun perbuatan, baik dengan cara yang terang maupun dengan isyarat.

Hal ini tidak bersangkut dengan urusan keduniaan sedikitpun. Dengan perkataan lain, bid’ah itu merupakan sesuatu perjalanan di dalam agama yang diada-adakan orang, yang tidak ada padanya dalil daripada syara’, tidak ada padanya dalil daripada Allah dan RasulNya, yang menyerupai syari’at. Dimaksudkan dengan mengerjakannya itu dengan berkepercayaan seperti yang dimaksudkan dengan perjalanan agama, atau seperti yang dimaksudkan dengan cara mengerjakan hukum syari’at. 4

Untuk mengukuhkan lagi hujahnya tentang keharaman bid’ah beliau mengemukakan ayat al Qur’an:

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari’atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah.” 5

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hadith Nabi:

“Sesiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami ini apa yang tidak ada daripadanya, maka ia tertolak.” 6

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal yang tidak ada perintah kami atasnya, maka ianya tertolak.” 7

iii. Kesedaran Pendidikan

Perjuangan gerakan tajdid dimana sahaja di atas muka bumi ini akan mendokong cita-cita untuk merubah masyarakat setempat. Di dalam proses perubahan sosial ini, maka penekanan ditumpukan kepada bidang pendidikan.

Sehubungan dengan itu, Syed Sheikh al-Hadi selaku pengurus majalah “al Imam” dalam rencana pengarang keluaran yang pertama bertarikh 23 Julai 1906 telah menulis:

“…untuk mengingatkan mana-mana yang lalai dan mana-mana yang tidur, dan menunjukkan mana-mana yang sesat, dan menyampaikan suara yang menyeru kepada kebaikan…”8

“Al-Imam” memberi sebab kemunduran orang-orang Melayu dengan penguasaan bangsa asing ke atas mereka. Punca kejatuhan orang Islam disebabkan keingkaran terhadap yang tulen. Kemudian “al-Imam” menyebut pula bahawa Islam tidak menentang ilmu pengetahuan dan kemajuan yang datang dari barat, malah kita perlu berusaha untuk lebih berjaya daripada mereka.

Lantaran itu “al-Imam” telah mendesak supaya orang-orang Islam terutamanya Raja-raja dan Pembesar-pembesar supaya menubuhkan Persatuan Pelajaran dan Ekonomi serta yang boleh membangkitkan kesedaran. Adat-adat dan kepercayaan yang karut-marut dan bertentangan dengan agama serta kemajuan hendaklah disisihkan. Manakala ulama yang mengajarkan ajaran yang tidak betul itu perlu disedarkan daripada kesalahan mereka dan mengetahui tanggungjawab masing-masing.

Tokoh pendidikan, Pendita Za’ba pula mengulas garis pemisah yang sangat jelas yang wujud di antara “pelajaran dunia” dan “pelajaran akhirat” pada ketika itu. Hal ini adalah di sebabkan mereka, ulama tradisional, berpendapat tempat yang terbaik untuk menuntut ilmu hanyalah di Mekah, Madinah atau di Mesir sahaja. Ilmu dunia dan ilmu akhirat tidak boleh disatukan sama sekali.9

Pendita Za’ba berpendapat pemikiran inilah yang menyebabkan kebanyakkan kitab agama yang dikarang oleh mereka mereka hanya berkisar disekitar soal tajwid, doa-doa serta ibadat dan haid wanita. Soal kemajuan dan kemunduran masyarakat di dunia ini terkeluar daripada cakupan pemikiran mereka.10

Serentak dan senada dengan kritikan Pendita Za’ba majalah “al-Imam” mengusulkan satu pembaharuan kepada sistem pelajaran Islam dengan meminta supaya pelajaran Bahasa Arab, Inggeris dan lain-lain yang bersangkutan dengan pelajaran moden hendaklah diajarkan. Melalui majalah “al-Ikhwan” pula, Syed Syeikh al-Hadi menyarankan agar ditubuhkan sekolah “Anglo-Malay” dimana akan diajar pelajaran agama, Melayu dan Inggeris dengan serentak.11

Demikianlah kegigihan gerakan tajdid pada ketika itu dalam memastikan berlakunya perubahan dalam masyarakat dengan merubah sistem pendidikan yang sedia ada kepada sistem yang mengintegrasikan aspek sains dan teknologi dengan agama.

iv. Pembebasan dan Emansipasi Wanita

Gerakan tajdid juga merupakan gerakan yang membela dan memperjuangkan hak-hak wanita dari segi pendidikan dan sosial. Di dalam majalah “al-Ikhwan” Syed Sheikh al-Hadi berhujah bahawa usaha memperbaiki kedudukan wanita adalah penting untuk masa depan negara kesuluruhannya.

Beliau beranggapan sekiranya pemikiran wanita itu lemah kerana tiada penekanan terhadap pendidikannya, maka keyakinan dirinya akan pudar, yang demikian itulah yang terjadi di dalam masyarakat pada ketika itu. Sekiranya kehadiran wanita hanyalah untuk melahirkan anak dan menjaga anaknya, maka apakah bezanya mereka dengan spesis sejenis yang lain di dalam alam ini.12

Golongan lelakilah yang bertanggungjawab dalam menentukan ruang yang sempit bagi golongan wanita dan menetapkan fungsi mereka hanyalah untuk melahirkan anak. Kerana itu Syed Sheikh al-Hadi seperti para mujaddid yang lain pada zamannya berjuang untuk mematahkan monopoli golongan agama dan membuka semula pintu ijtihad. Beliau menegaskan bahawa tewasnya umat Islam, baik lelaki mahupun wanita, di dalam perjuangan hidup ini bukanlah kerana agama, akan tetapi kerana kejahilan dan kebodohan yang mengelilingi mereka akibat daripada sikap para pemimpin agama.

Kritikannya pada ulama tradisional yang berkuasa adalah dalam bentuk penulisan yang kritis dan tajam seperti novel Hikayat Faridah Hanum. Di dalam kisah ini, Faridah Hanum digambarkan sebagai wanita yang rasional, progresif dan moden yang mampu untuk melaksanakan kebebasan untuk memilih dan menggunakan pemikirannya secara rasional. Faridah Hanum juga memiliki kekuatan untuk memelihara diri dan kehormatannya serta mempunyai kawalan terhadap kehendak batinnya.13

Sekiranya bukan kerana usaha dan perjuangan gerakan tajdid yang moden lagi progresif ini, nescayalah masyarakat Melayu Islam yang berada di bawah kekuasaan golongan ulama tradisional tidak akan berubah sama sekali. Merekalah yang telah memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan pemikiran pada masa itu. Merekalah yang yang telah mengajar bahawa kekuasaan barat tidak boleh dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat. Atas usaha mereka itulah maka gerakan Melayu Islam mula tersusun dalam bentuk organisasi dan parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan tanahair.

v.Perjuangan Kemerdekaan

Gerakan politik Islam mula lahir dalam bentuk organisasi yang tersusun selepas Perang Dunia Kedua. Kelahiran organisasi politik Islam ini adalah kelangsungan daripada pengaruh pemikiran tokoh-tokoh pembaharuan di timur tengah seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan juga Sayyid Muhammad Rashid Redha.

Cetusan pergerakan politik Islam di Tanah Melayu bermula pada tahun 1948, apabila bermulanya Ma’ahad al Ihya al Syariff, Gunung Semanggol, yang terlibat dalam pergerakan politik negara. Sekolah-sekolah agama rakyat lain tidak mempunyai kemampuan yang setanding dengan ma’ahad ini dan banyak yang terpaksa ditutup pada permulaan pemerintahan Jepun. Selepas pemerintahan Jepun, banyak pula yang merosot kerana persaingan yang hebat dengan sekolah-sekolah agama kerajaan yang mula muncul pada tahun 1950-an

Al Ihya al Syariff lahir pada tahun 1934. Ia diusahakan oleh Ust Abu Bakar al-Bakir bin Muhammad Said. Penglibatan Al-Ihya dalam bidang politik bukan merupakan satu perkara asing. Hal ini kerana kedudukan Gunung Semanggol berdekatan dengan Pulau Pinang yang pada waktu itu kuat dipengaruhi oleh aliran Kaum Muda. Tambahan pula, wujudnya penuntut-penuntut daripada Madrasah al-Masyhur yang ditubuhkan oleh Syed Sheikh al-Hadi turut mengukuhkan lagi kedudukan Al-Ihya al Syariff.

Disamping itu, peranan yang dimainkan oleh Ustaz Abu Bakar sentiasa memberi pengaruh yang sangat kuat kepada pengikut-pengikutnya. Beliau banyak mengasah kesedaran kebangsaan dikalangan muri-muridnya melalui pengajaran kitab-kitab “sirah”. Pengajaran berdasarkan buku ini mengupas kepentingan watan, perjuangan berorganisasi dan berkorban demi memajukan negara, bangsa dan tanahair.

Pada tahun 1947 satu kongres Islam telah diadakan di Gunung Semanggol bertujuan meluaskan pengajaran agama dan rancangan ekonomi bagi memajukan serta meningkatkan sistem ekonomi bangsa dan negara yang hampir lenyap di tangan orang asing. Pada hari kedua persidangan itu, Ustaz Abu Bakat al-Bakir telah mencadangkan penubuhan sebuah parti politik Islam dan cadangan itu mendapat sokongan daripada Dr Burhanuddin al-Helmy. Persidangan ini akhirnya setuju membentuk parti orang-orang Islam Melayu. Parti tersebut dibentuk dengan nama “Hizb al Muslimin” pada 14 Mac 1948 di Ma’ahad Al Ihya al Syariff di Gunung Semanggol. Tujuan asal parti ialah untuk mencapai kemerdekaan bangsa Melayu, membentuk masyarakat berdasarkan Islam, dan menjadikan Tanah Melayu sebagai Darul Islam.

Kelahiran Hizb al-Muslimin ini telah mengakibatkan wujudnya suasana yang tidak senang bagi kalangan pimpnan UMNO dan penjajah Inggeris. Penjajah Inggeris amat berwaspada dengan parti ini ekoran tuduhan oleh Dato’ Onn Jaafar yang mengatakan parti itu berdamping rapat dengan komunis. Sikap Dato Onn itu digambarkan dalam ucapannya:

“Bahaya di gunung itu masih ada lagi ditambah pula satu bahaya lagi (Hizb al-Muslimin) supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah.”14

Berikutan dari tuduhan sebagai subversif dan bersubahat dengan komunis, maka pada tahun 1948 Inggeris telah mengharamkan Hizb al-Muslimin serta menangkap pemimpin-pemimpin serta aktivisnya termasuk Ustaz Abu Bakar al-Bakir. Meskipun parti ini sempat hidup selama lima atau enam bulan sahaja, tetapi ia telah memberikan sumbangan yang besar dalam sejarah awal perjuangan merealisasikan cita-cita Daulah Islamiyyah di negara ini. Hal ini adalah kerana perjuangannya merupakan perjuangan keyakinan yang terpancar dari aqidah yang tidak dipisahkan dari satu rangkaian organisasi Islamiyyah yang berpaksikan Institut Ma’ahad Al Ihya al Syariff. Pengharamannya bukan bemakna perjuangannya telah terkubur. Keadaan ini ternyata dengan kelahiran parti politik yang memperjuangkan Islam selepasnya, iaitu kemunculan Parti Islam se-Tanah Melayu (PAS) pada tahun 1951 di Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai. Ideologi yang diperjuangkan oleh parti baru ini tidaklah kabur tapi sebenarnya adalah sambungan kepada perjuangan Islam oleh Hizb al-Muslimin yang telah diharamkan oleh Inggeris.

2. Kesimpulan

Dalam perbahasan terakhir ini, ingin disimpulkan dan ditegaskan bahawa gerakan tajdid merupakan kesinambungan misi para Rasul15. Ruhnya bersifat kreatif dan diinspirasikan oleh cita-cita yang tinggi. Akan tetapi usaha ke arah mencapai cita-cita tersebut mestilah dilakukan dengan penuh teliti dan bersifat realistik, dengan kekuatan amal serta persiapan material. Tujuannya ialah agar prinsip-prinsip tersebut dapat dilaksanakan bukan sahaja dalam sifat-sifat teorinya semata-mata, akan tetapi ruhnya yang asli dan tulen juga dapat dizahirkan. Ia membersihkan Islam yang diamalkan daripada segala elemen luaran dengan mengembalikan kepada sifatnya yang asal.

Gelombang gerakan tajdid yang telah dimulakan oleh para mujaddid pada awal kurun ini perlu diteruskan . Kita harus belajar daripada pengalaman yang telah mereka lalui.

“mereka adalah umat yang telah lalu, bagi mereka apa yang telah mereka usahakan, bagi kamu apa yang kamu usahakan.”16

Dalam memastikan kejayaan gerakan tajdid dizaman yang serba moden dan di era globalisasi ini, maka ia mesti mampu untuk menggembelingkan segala kekuatan daripada gerakan ideologi yang komprehensif, yang mampu untuk mempengaruhi semua jenis aliran pemikiran dalam semua ruang kehidupan. Gerakan tajdid ini juga memerlukan kekuatan ijtihad yang baru lagi bersifat anjal yang bersumberkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya memandangkan sudah tidak ada lagi sempadan negara dan angkasa di era globalisasi ini.


 

[1] al Maaidah 5: 4

[2] Tafsir al Manar 7: 161

[3] Prof. Hasbi ashShiddiqi: Pengertian Hukum Islam jilid 2, terbitan Thinker’s Library, 1986.

[4] Mohd Radzi Othman dan O.K.Rahmat: Gerakan Pembaharuan Islam. Diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia, 1996.

[5] as Syura 42: 21

[6] Muttafaqun ‘alaih

[7] Hadith riwayat Imam Muslim: 1718

[8] Mohd Kamil Abdul Majid: Tokoh-Tokoh Pemikir Dakwah, terbitan Dewan Pustaka Islam, 1990.

[9] Adnan Haji Nawang; “Za’ba dan Ajaran Reformis Islam Kaum Muda” di dalam Za’ba dan Melayu, terbitan Berita Publishing, 1998.

[10] ibid

[11] Alijah Gorden: The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady. Diterbitkan oleh Malaysia Sociological Research Institute MSRI, 1999.

[12] Farish A.Noor: The Other Malaysia: Writings on Malaysia’s Subaltern History. Diterbitkan oleh Silverfish Books, 2002

[13] ibid

[14] Nabil bin Haji Abdullah, Maahad al Ihya Assyariff Gunung Semanggol, Cetakan Pertama: Jabatan Sejarah UKM, 1976.

[15] Prof. Kurshid Ahmad: Maududi’s Model for Islamic Revival, disunting oleh Muhammad Mumtaz Ali dalam ‘Modern Islamic Movement’, diterbitkan oleh A.S Nordeen 2000.

[16] al Baqarah 2: 134


 

Kertas kerja ini disampaikan semasa Forum Gerakan Tajdid: Sejarah, Perkembangan dan Cabaran di Era Globalisasi di Sime Darby Convention Centre, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 23 Julai 2006 anjuran Muslim Professionals Forum (MPF)

– See more at: http://irfront.net/post/articles/sejarah-dan-perkembangan-gerakan-tajdid-di-tanah-melayu-ii/#sthash.AggR4rYi.dpuf

 
Leave a comment

Posted by on November 30, 2012 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: