RSS

Definisi Harakah Islamiyah

03 Oct
Definisi Harakah Islamiyah

Definisi Harakah Islamiyah

Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biy) secara berkumpulan (jamai’e) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.

Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah verbal atau tulisan dan buku walaupun ia juga penting, tetapi itu hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan. Firman Allah :

 “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang-orang beriman akan melihat amalan kamu.dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (At Taubah:105)

Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripada-Nya, bukan daripada manusia.

Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya.

Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap agama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.

Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya.

Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai  sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksanakan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan (ulama al sulthah). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.

Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.

Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.

Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah. Kemestian ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu agama dan realiti. Adapun agama, maka ia disebabkan Islam menyeru kepada jamaah dan menolak bersendirian dan terpencil.

‘Tangan Allah di atas jamaah’. ‘Barang siapa memencil diri, dia akan terpencil di neraka’. ‘Orang mukmin saling kuat menguat’. Islam menyeru ‘berkerja sama melakukan kebajikan dan taqwa’ dan menyuruh untuk ‘saling mewasiat dengan kebenaran dan kesabaran’.

Manakala realiti pula, maka ia disebabkan oleh hakikat bahawa sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. kerja yang besar tidak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Sebelah tangan tidak boleh bertepuk. Firman Allah;

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam satu saf yang tersusun seolah-olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh”. (Al Shaff:4)

Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ia diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti.

Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.

 
Leave a comment

Posted by on October 3, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: